Ubi keledek adalah sejenis sayuran berakar yang kaya dengan karbohidrat dan tinggi dengan karoten. Tanaman ini dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan barat laut Amerika Latin.
Penanaman awal ubi keledek dianggarkan berlaku kira-kira 3000 SM yang lalu, di mana catatan pertama tentangnya ditemui pada peradaban kuno Peru dan Mayan. Penjelajah, Christopher Columbus, dipercayai bertanggungjawab dalam menyebarkan tanaman ini ke seluruh Eropah, manakala kelasi Sepanyol dan Portugal memperkenalkannya ke Afrika dan Asia.
Sekarang, ubi keledek boleh dijumpai di hampir setiap kawasan tropika dan sub-tropika atau tempat yang beriklim sejuk pada musim panas. Di Malaysia, pengeluar utama ubi keledek adalah Johor, Selangor, Kelantan, dan Perak.
Tumbuhan merambat ini boleh mencapai ketinggian antara 1-8 meter. Batangnya boleh mencapai ketinggian antara 5 hingga 30 m, dengan daun yang panjangnya antara 4 hingga 15 cm dan lebar antara 4 hingga 12 cm. Akarnya akan membesar dan berisi membentuk oblong kebiasaannya, kaya dengan kanji, berkulit licin dan wujud dalam pelbagai warna termasuk oren, kuning kekuningan, ungu atau coklat kemerahan bergantung pada varieti itu sendiri.
Varieti yang berwarna oren atau kemerahan lebih manis berbanding yang berwarna putih atau kuning. Tumbuhan ini memiliki bunga ungu (lilac) putih atau biru muda yang mekar dalam kelompok tunggal di antara tangkai daun yang pendek, bersifat corong.
Dalam masakan Melayu, ubi keledek boleh dimakan mentah, digoreng, dipanggang, direbus, dikukus, dimasak dalam kari, direndam dalam santan, menjadi penstabil kuah, dan digunakan sebagai bahan dalam pelbagai 'kuih' Melayu atau kek.
Biasanya dalam dunia Melayu, jika sesuatu tumbuhan boleh dimakan, ia juga boleh digunakan untuk tujuan perubatan. Oleh itu, ubi keledek juga digunakan untuk tujuan perubatan seperti tonik untuk hati, buah pinggang, dan kesihatan secara keseluruhan serta memberikan tenaga kepada badan yang lemah dan mencegah dahaga ketika selesema.
Bunga ubi keledek mirip atau kelihatan hampir serupa dengan bunga ‘morning glory’ namun berbeza dari dari segi ekspresi warnanya.
Untuk ‘morning glory’, keseluruhan bunga berwarna biru atau ungu tua dengan bahagian tengahnya yang putih manakala bunga ubi keledek adalah sebaliknya di mana sebahagian besar kelopak berwarna putih dan bahagian tengahnya pula berwarna ‘lilac’ atau merah jambu gelap menjadikannya kelihatan lebih pemalu, lembut, dan seperti tersipu-sipu.
Bunga ini mencerminkan peribahasa Melayu 'diam-diam ubi berisi' untuk menunjukkan karakter yang patut dipuji kerana tidak perlu membuat bising atau terlalu lantang menyebarkan kesemua pencapaian, kejayaan atau langkah seterusnya tetapi terus istiqomah bertindak di belakang tabir dengan konsisten dan membuahkan hasil.
Ia benar-benar mencerminkan sifat merendah diri orang Melayu yang kadangkala dipandang remeh namun lebih fokus untuk bekerja keras dahulu dan membiarkan kerja itu berbicara dengan sendirinya tanpa perlu diwar-warkan kepada seluruh dunia.
Motif bunga ubi keledek dinamakan 'Kuntum Bertaut' atau kuntum yang bercantum untuk menggambarkan gerakannya. Mengambil bunga ini sebagai metafora, sebenarnya segala sesuatu sering berkait antara satu sama lain dan tidak terpisah atau terasing seperti teori ‘the butterfly effect’ di mana apa juga tindakan tetap akan memberi kesan kepada orang lain atau dunia secara keseluruhannya.
Seperti seseorang yang mempersembahkan dirinya dengan satu tangan diangkat sementara tangan yang lain dilentik ke sisi, atau gerakan membungkuk setelah tamat persembahan terakhir yang hebat (encore), motif ini dengan indah menyampaikan mesej 'diam-diam ubi berisi'.
Apabila motif ini diulangi, satu corak bergelombang akan muncul seolah-olah untuk menyampaikan setiap kerja yang penting akan mencipta kesan gelombang, yang walaupun diam-diam tetapi pasti memberi impak kepada semua yang terlibat dan pada akhirnya mampu mengubah dunia. Secara kolektif, realiti yang baru dan indah akan terbentuk dan semua orang boleh mendapat manfaat daripadanya.
Diam diam ubi berisiKuntum bertaut berseri indah
Diam diam manifestasi
Tanpa disebut hasil terserlah