Labu adalah salah satu makanan penyembuh yang diamalkan oleh Rasulullah dan merupakan Sunnah Nabi Muhammad (s.a.w). Ia dianggap sebagai tumbuhan herba yang menjalar dengan isi berwarna oren atau jingga pekat.
Tumbuhan ini subur di kawasan beriklim panas atau sesuai ditanam sewaktu musim panas, memerlukan suhu antara 25 hingga 35 darjah Celsius untuk mempercepatkan pengeluaran bunga dan mencapai tempoh matang untuk penuaian.
Dalam dunia Melayu, biji labu serta daunnya digunakan dalam masakan dan untuk kesihatan menyeluruh. Labu biasanya direneh dalam santan untuk membuat hidangan 'masak lemak' yang dimakan dengan nasi. Ia juga boleh dijadikan pelbagai jenis kuih Melayu untuk pencuci mulut seperti 'Sira Labu', 'Pengat Labu' dan 'Lepat Labu'. Daunnya juga dimasak dalam hidangan Melayu dan dimakan dengan nasi.
Biji labu selain daripada dimakan sebagai snek, juga mengandungi pelbagai manfaat kesihatan. Labu amat baik sebagai penurun tekanan, meningkatkan kualiti tidur, melancarkan penghadaman, menguatkan jantung, menyokong penurunan berat badan, sangat baik untuk kesihatan lelaki, membantu pertumbuhan rambut, tinggi dengan antioksidan, mencegah kanser, dan mengawal gula dalam darah.
Bunga labu mempunyai kelopak yang berwarna kuning atau oren yang pekat apabila matang. Sebelum mekar, ia biasanya menguncup dan bertaut rapat seolah-olah malu untuk menampilkan diri. Bunga ini mempunyai jantan dan betina di mana mereka memerlukan bantuan dalam proses polinasi pada masa-masa tertentu.
Motif ini diberi nama Sehayat Jingga atau dengan kata lain kehidupan Sang Oren. Ungkapan keghairahan dan kehangatan boleh dirasai dari ilustrasi motif ini yang bergerak ke atas dan melentik.
Jika motif ini diulangi tetapi dalam kesan cerminan/refleksi yang bertentangan, sekeping hati akan terbit di tengah-tengah menghubungkan kesemuanya, membentuk rantaian jalinan corak yang berangkai.
Sama seperti fitrah tumbuhan ini yang memiliki jantan dan betinanya serta memerlukan bantuan untuk proses polinasi berterusan dalam penghasilan buah; motif Sehayat Jingga menjadi metafora komuniti Melayu yang saling bantu membantu dan peranan penting yang dimainkan setiap individu dalam menyokong pertumbuhan keseluruhan ekosistem. Ia adalah komuniti yang penuh kasih, dizahirkan melalui tindakan dan tidak sekadar dengan ucapan kosong sahaja.
Sehayat Jingga nama diberi
Mekar menyerlah menyeri ruang
Sehayat kasih menabur bakti
Mekar berbuah legasi gemilang