Petola bulat, petola buntal, petola manis atau belustru (nama saintifik: Luffa aegyptica) adalah buah dalam kategori sayur-sayuran hijau. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai Luffa atau Loofah/Lufah dan tumbuh menjalar setiap tahun. Ia merupakan tumbuhan tropika dan sub-tropika yang terdiri daripada genus Luffa dalam keluarga Cucurbitaceae.
Tumbuhan ini secara semulajadi gemarkan sinaran matahari dengan daun berbentuk oval antara 6 hingga 25cm dan panjang antara 8 hingga 27cm sementara batangnya pula boleh mencecah saiz antara 5 hingga 10cm.
Ciri unik tumbuhan ini adalah ia terdiri daripada jantan dan betina yang berkembang secara berasingan. Bunga jantan tumbuh dalam jambakan atau berkelompok manakala bunganya yang betina tumbuh secara individu.
Buahnya berbentuk silinder yang licin dengan setiap bahagian mempunyai tujuan dan fungsi tersendiri. Buah yang muda dipetik sebagai sayur-sayuran dan apabila sudah terlalu masak, xilem yang keras boleh digunakan sebagai span. Benihnya boleh diperas untuk mengekstrak minyak tanpa bau sementara sisaannya digunakan sebagai makanan untuk haiwan seperti arnab dan ikan keli atau dijadikan baja.
Apabila kita mengamati bunga Luffa, kita akan melihat perwatakannya yang seolah-olah memiliki keyakinan tinggi, apabila mekar dengan indah di hujung buah. Meletup dengan penuh bertenaga dalam kekuningannya yang unggul, kita tidak dapat lari dari mengaitkan bunga ini dengan Kesultanan Melayu kerana ia kelihatan seperti mahkota untuk tumbuhan itu.
Warna kuning yang terang adalah warna rasmi Raja Melayu. Dalam acara rasmi di istana, Sultan dan Raja-raja akan kelihatan berpakaian kuning dan rakyat biasa tidak dibenarkan berpakaian kuning semasa majlis ini. Oleh itu, istilah 'mahkota' digunakan di sini sebagai metafora untuk menggambarkan motifnya.
Keseimbangan dan keharmonian adalah penting dalam prinsip reka bentuk Melayu. Motif Petola Mahkota mempunyai daun di sisi kiri dan kanan yang simetri. Di tengahnya, wujud buah yang teguh dengan bunga di atas yang terbuka seperti kepala kipas atau mahkota.
Daun-daun ini kelihatan seperti dua tangan yang mengundang anda untuk menyelami dunia budaya Melayu yang rumit namun indah. Motif ini sangat sesuai untuk digunakan dalam seni ukiran kayu di mana kehalusan kerja dapat dilihat dalam setiap pergerakan lengkuk yang sangat halus dan lembut fitrahnya walaupun bahantara yang digunakan adalah keras.
Namun, dalam kelembutannya yang bersahaja, wujud kekuatan agung, mengumpulkan semangat kolektif tumbuhan tersebut, satu luahan keghairahan melalui mahkota kuningnya yang terang bertenaga – berpuas hati serta yakin dengan kehebatan monarki dirinya yang lengkap tanpa perlu bersaing, mahupun membuktikan kedaulatannya ke pada orang lain.
Mekar indah si bunga petola Bagai mahkota dijunjung tinggi Melakar madah kasih dibela Bagai cinta dirisau pergi